Anda ingin memiliki insurans namun masih ragu-ragu mengenai kepentingan insurans dan produk yang mana harus anda pilih? Kami kongsikan beberapa pengalaman untuk dijadikan renungan anda.
Nasihat Daripada Masyarakat Awam:
#1 Miliki insurans seawal mungkin. 🕰️
Khalida, seorang ‘freelancer’, baru sahaja meninggalkan kerjaya korporat beliau tahun lalu untuk membina kerjaya baru dalam sektor pemasaran digital. Sebelum ini, beliau akui tidak mempunyai insurans kerana mempunyai kemudahan yang disediakan oleh majikannya terdahulu.
Namun, malang tak berbau dan tidak lama selepas memulakan kerjaya baru, Khalida terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan beliau dimasukkan ke hospital. Disebabkan tidak lagi mempunyai insurans ketika itu, beliau terpaksa menanggung kos perbelanjaan hospital sepenuhnya. Menyedari kesilapan ini, Khalida menggalakkan ‘freelancer’ seperti beliau untuk memiliki pelan insurans persendirian sama ada pelan insurans perubatan atau pelan insurans hayat sebagai persediaan awal dan tidak hanya bergantung kepada majikan.
Salina, seorang ejen makanan ringan berkongsi kisah beliau yang didapati menghidap penyakit diabetes seawal umurnya 25 tahun. Secara umum, sekiranya seseorang individu didapati menghidap penyakit kritikal seperti diabetes, darah tinggi, kanser atau sebagainya, mereka tidak lagi layak memiliki pelan insurans perubatan dan kesihatan melainkan anda memilih pelan insurans penyakit kritial. Walau bagaimanapun, setelah didapati menghidap penyakit kritikal, bayaran premium akan menjadi lebih mahal berbanding kebiasaan. Salina amat bersyukur kerana keputusan beliau untuk memiliki insurans sewaktu baru mula bekerja merupakan satu tindakan yang wajar untuk dirinya.
#2 Rajin Bertanya Untuk Pilihan Terbaik. 🙋
Sebelum memilih pelan insurans, Zai Hong banyak mengkaji dan membuat perbandingan pelan insurans yang terdapat dalam pasaran. Dengan adanya kemudahan teknologi, proses lebih mudah kerana semua maklumat boleh didapati atas talian dan mempunyai pilihan produk yang lebih meluas.
Selain itu, beliau juga rajin mendapatkan rundingan nasihat daripada pihak professional seperti ejen insurans atau perunding kewangan. Menurut pakar pemasaran digital ini, pihak professional sentiasa bersedia membantu dengan mengesyorkan pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan dan kedudukan kewangan masing-masing. Kefahaman mengenai insurans amat penting kerana tiada guna jika anda mempunyai pelbagai insurans namun tidak memahami manfaat insurans yang anda miliki.
#3 Pelaburan vs Insurans. 🤔
Kebanyakan golongan muda berpendapat membuat pelaburan lebih bermanfaat daripada membeli insurans kerana hasilnya berlipat ganda. Mitos ini sering Kavidha dengar melalui perbualan dengan rakan-rakan sekerjanya di sebuah syarikat kewangan. Kavidha juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan semasa produk pelaburan seperti pasaran saham, mata wang kripto, bitcoin, emas dan sebagainya.
Namun begitu, apa yang menjadi kebimbingan Kavidha adalah kestabilan nilai sesuatu pelaburan dan bagaimana pula jika berlaku sesuatu kecemasan seperti kemalangan, penyakit atau kematian kepada beliau.
Oleh yang demikian, dalam menguruskan kewangan beliau, Kavidha menggunakan konsep bajet. Melalui cara ini, beliau boleh membahagikan keutamaan mengikut keperluan. Daripada pendapatan bulanan, beliau memperuntukkan 10% untuk simpanan, 5% untuk insurans dan 5% untuk pelaburan dan mata wang kripto.
#4 Status bukan ukuran. 🙅♂️
Hariez, seorang “content creator” pada awalnya berpendapat beliau tidak memerlukan insurans sekiranya tiada tanggungan. Walau bagaimanapun pendapat ini sama sekali tidak benar kerana beliau sendiri telah melihat pengalaman ibu saudaranya yang berhadapan dengan kesusahan membiayai persekolahan anak-anak selepas kematian suaminya.
Hariez menyedari walaupun dirinya masih bujang dan tidak mempunyai tanggungan, namun dengan adanya insurans mungkin dapat meringankan beban ahli keluarganya pada akan datang. Beliau telah memilih pelan insurans hayat yang menyediakan manfaat pampasan kematian kerana syarikat insurans bertanggungjawab dalam menyelesaikan tanggungan pembiayaan kos kesihatan dan liabiliti. Menurut Hariez, perlindungan ini merupakan jaminan keselesaan masa depan buat ahli keluarga beliau supaya mereka dapat menguruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
Mulakan langkah pertama dengan memilih pelan insurans mengikut keperluan anda! Kami berharap perkongsian kali ini dapat memberi suntikan semangat baru dan membuka minda anda mengenai kepentingan insurans. Insurans bukan sahaja untuk diri anda malahan untuk keluarga tersayang.
Untuk panduan lanjut mengenai insurans, layari https://www.liam.org.my/
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Comments
0 comments
Please sign in to leave a comment.