Daya tahan kewangan adalah perkara asas yang perlu dikecapi oleh setiap individu untuk membantu mereka menghadapi kesukaran hidup. Tambahan pula, ketika pandemik ini, semakin ramai berhadapan dengan risiko kehilangan mata pencarian dan lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai tabung kecemasan.
Membina Ketahanan Kewangan Ketika Pandemik
Antara ciri-ciri individu yang mempunyai ketahanan kewangan yang baik ialah:
- 💰 Mempunyai sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan simpanan kecemasan.
- 📈 Nisbah simpanan kepada pendapatan yang tinggi.
- 💸 Kemampuan menguruskan perbelanjaan dengan bijak.
- 🏦 Kemampuan membayar balik pinjaman.
Adakah anda mempunyai ciri-ciri tersebut? Jika tidak, jangan risau. Kami akan kongsikan beberapa langkah untuk membantu anda membina ketahanan kewangan:
-
Belajar tentang konsep kewangan asas.
Ramai yang berpendapat pendidikan kewangan ialah sesuatu yang rumit dan membosankan. Jika anda salah seorang yang berpendapat sedemikian, anda boleh belajar tentang konsep kewangan melalui saluran interaktif seperti di Youtube, TikTok, Instagram dan media sosial yang lain.
Antara konsep pendidikan kewangan yang perlu anda kuasai ialah cara untuk menabung dan faedah berganda (“compounding interest”), perbezaan antara aset dan liabiliti, mengimbangi risiko dan pulangan ke atas pelaburan, pinjaman jangka masa pendek dan panjang, nisbah perkhidmatan hutang dan sebagainya.
Anda boleh merujuk beberapa artikel yang telah kami kongsikan sebelum ini berkaitan topik-topik di atas.
-
Memanfaatkan kemudahan dan bantuan kewangan yang diberikan oleh institusi kewangan.
Terdapat pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh institusi kewangan ketika tempoh moratorium dengan memberi penangguhan ke atas pembayaran hutang kepada peminjam. Melalui moratorium ini, peminjam dapat menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk menampung keperluan asas yang membolehkan mereka untuk bertahan lebih lama sepanjang tempoh pandemik.
Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membolehkan anda mengeluarkan simpanan KWSP anda bagi tujuan kecemasan dan kelangsungan hidup. Sebaiknya anda dinasihatkan untuk mengeluarkan jumlah minimum yang diperlukan dan selebihnya masih dalam simpanan KWSP untuk persaraan anda kelak.
Pastikan anda mengikuti perkembangan mengenai jenis bantuan khusus yang diperkenalkan seperti, diskaun bil elektrik, bantuan untuk ibu tunggal, bantuan OKU dan sebagainya supaya anda dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung di waktu pandemik ini.
-
Berhati-hati dengan pelbagai penipuan dan skim cepat kaya.
Di kala ramai masyarakat kita terkesan dengan hilang pekerjaan dan memperoleh pendapatan, masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesempitan yang dilalui. Skim cepat kaya dan penipuan siber semakin berleluasa kini.
Mereka menggunakan pelbagai taktik seperti menjanjikan produk pelaburan tanpa kerugian dan faedah atau keuntungan yang tidak masuk akal. Antara langkah untuk mengenal pasti sama ada skim pelaburan yang ditawarkan adalah berbentuk “scam” adalah dengan menyemak senarai individu dan organisasi berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui pautan laman web mereka.
-
Tetapkan matlamat menyimpan untuk masa hadapan.
Dalam kalangan masyarakat kita mungkin masih kurang peka mengenai kepentingan tabung kecemasan. Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 mendedahkan bahawa sebanyak 46% rakyat Malaysia membelanjakan semua atau lebih daripada pendapatan mereka. Ini bermakna mereka tidak dapat menyimpan. Sementara itu menurut laporan dalam Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023 yang dirangka oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), 52% rakyat Malaysia sukar menyediakan minimum RM1,000 untuk tabung kecemasan.
Benar bukan mudah untuk menyimpan namun untuk masa hadapan kita harus sedar simpanan terutamanya tabung kecemasan amat penting dan berguna apabila memerlukannya. Cuba tetapkan matlamat anda untuk menyimpan biarpun mula dengan jumlah sedikit tapi yang paling penting tanamkan niat dan usaha ke arah kedudukan kewangan yang lebih baik.
Pandemik yang melanda dunia hari ini merupakan ujian berat yang perlu dihadapi oleh masyarakat kita. Namun begitu, mungkin apa yang berlaku ini memberi kesedaran kepada kita semua untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kesukaran hidup terutamanya dari segi kewangan. Ambil iktibar untuk memperbetulkan tabiat pengurusan wang anda agar dapat meningkatkan daya tahan kewangan anda pada masa hadapan.
Comments
0 comments
Please sign in to leave a comment.