Jaga Kesihatan Kewangan Anda: Ketahui Perbezaan Aset & Liabiliti
Salah satu cara untuk membuat ‘pemeriksaan kesihatan’ ke atas status kewangan anda adalah dengan mengenal pasti jumlah aset dan liabiliti anda.
Secara ringkas, aset adalah apa yang anda miliki, sementara liabiliti adalah apa yang anda hutang kepada pihak lain.
Dengan menolak jumlah liabiliti daripada jumlah aset, anda boleh mengira perbezaan antara keduanya yang diketahui sebagai ‘net worth’ (nilai bersih).
Faedah mengenali ‘net worth’ anda
- Dengan mengetahui nilai bersih, ia berfungsi sebagai titik rujukan untuk anda merancang dengan lebih baik bagi mencapai matlamat kewangan anda, atau tersasar daripada apa yang anda rancangkan.
- Menjadi satu peringatan kepada anda untuk menyemak semua akaun yang anda miliki. Mungkin ada pelaburan yang sudah lama tidak diperiksa, atau ada hutang yang diabaikan secara tidak sengaja.
- Dengan menyenaraikan semua aset dan hutang, anda boleh memperuntukkan bajet atau perbelanjaan peribadi anda dengan lebih cekap. Contohnya, anda dapat menentukan keutamaan hutang yang perlu dibayar dahulu serta dapat mengelak daripada membayar kadar faedah yang lebih tinggi.
- Mendorong motivasi diri untuk terus mencapai matlamat utama anda - sekiranya anda melihat nilai bersih meningkat, tentunya anda akan berasa bangga dengan pencapaian itu dan akan terus berusaha untuk berjimat, menyimpan dan melabur. Jika nilai bersih turun, ia dapat memberikan satu ingatan segera kepada anda untuk mengambil langkah bijak dalam memperbaiki status kewangan anda.
Mengenal pasti Aset & Liabiliti
Aset adalah harta milikan anda yang mempunyai nilai kewangan. Contoh aset adalah:
- Wang Tunai
- Kenderaan
- Insurans prabayar
- Saham
- Wang di dalam akaun simpanan atau akaun semasa
- Hartanah
- Wang Persaraan
Liabiliti merujuk kepada hutang, sama ada hutang kepada seseorang atau kepada bank dan entiti lain. Contoh liabiliti adalah:
- Pinjaman pelajar
- Pinjaman peribadi
- Bil kad kredit
- Cukai pendapatan
- Pinjaman sewa beli
- Pinjaman perumahan
Salah satu cara termudah untuk menentukan status kesihatan kewangan anda adalah dengan mengikuti formula ini:
ASET - LIABILITI = NILAI BERSIH
Secara umum, nilai bersih anda sepatutnya nilai POSITIF. Tetapi jangan kecewa jika anda mendapat nilai NEGATIF - ini bermakna anda berpeluang untuk berubah ke arah yang lebih positif dalam mengamalkan tabiat berjimat cermat. Tidak dinafikan, pada permulaan awal pengiraan, kebanyakannya mungkin mempunyai nilai bersih yang negatif, terutamanya jika anda masih mempunyai komitmen pembayaran balik pinjaman-pinjaman tertentu.
Letakkan fokus untuk mengurangkan liabiliti anda dengan membayar hutang lapuk, mengawal perbelanjaan dan sentiasa mencari jalan untuk menukar liabiliti anda menjadi aset.
Dengan penambahbaikan nilai bersih anda dari semasa ke semasa, ianya pasti membantu anda mencapai matlamat kewangan yang anda idamkan. Anda juga bukan sahaja dapat mencapai kesihatan kewangan, malah ia memberi keseimbangan terhadap kesihatan mental anda agar lebih terjamin.
Comments
0 comments
Please sign in to leave a comment.