Adakah anda kreatif dalam mengendalikan perbelanjaan harian? Baca selanjutnya untuk ketahui tips menabung dan berbelanja secara berhemah daripada masyarakat umum.
#1 Elakkan berbelanja ketika dalam situasi terdesak
Elina, seorang freelancer yang mahir dalam mengacarakan majlis berkongsi tips untuk mengurangkan perbelanjaan secara dorongan atau impulse: Elakkan membeli barangan keperluan harian ketika anda terdesak.
Kajian membuktikan sekiranya anda berbelanja ketika terdesak, anda mungkin akan membuat pembelian lebih empat kali ganda daripada kebiasaan kerana berada dalam keadaan tertekan dan sukar untuk membuat pilihan akibat tekanan masa yang singkat dan anda ingin menyelesaikan pembelian dengan segera. Contohnya pembeli tersilap membuat pilihan ketika berhadapan potongan harga jualan dan kemungkinan besar terbeli barangan yang tidak diperlukan kerana lebih tertarik dengan tawaran harga.
Sekiranya anda sering tewas kepada promosi jualan seperti “beli 1 percuma 1” atau “potongan harga 50%”, elakkan situasi begini dan ingat kembali tujuan utama anda dalam membuat pembelian dan sentiasa memberi keutamaan barangan mengikut senarai yang telah anda tetapkan.
#2 Manfaatkan barangan preloved
Anzalna (bukan selebriti yang anda sangkakan), ibu kepada 2 anak lelaki yang comel berkongsi rahsia bagaimana beliau menjana pendapatan sampingan melalui penjualan barangan preloved dalam talian. Baru-baru ini beliau berjaya menjual stroller bayi yang dibeli lima tahun lalu dengan harga RM300.
Dengan adanya pelbagai saluran transaksi jual beli seperti Mudah.my, Carousell, Ebay dan sebagainya, ini lebih memanfaatkan kita untuk menjual barangan terpakai dengan lebih mudah. Selain dapat menjana pendapatan, penjualan barangan preloved juga dapat membantu kita mengurangkan menyimpan barangan lama yang masih elok digunakan lagi. Contohnya, lebih baik jika anda menjual perkakasan rumah yang masih lagi berfungsi dengan baik dan tidak lagi digunakan daripada ianya terbiar simpan di dalam stor simpanan rumah anda.
Menurut beliau, barangan pembelian preloved mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat di luar sana kerana harganya yang jauh lebih berpatutan berbanding dengan harga barangan baru.
#3 Strategi ‘Bargain Hunter’
Menurut Bakri, seorang pemandu lori, beliau merupakan seorang ‘Bargain Hunter’ yang sering mencari potongan harga untuk memastikan perbelanjaannya sentiasa terkawal. Beliau sentiasa membeli barangan keperluan menggunakan harga diskaun dengan memanfaatkan pengunaan baucer yang beliau kumpul. Selain mendapat potongan harga beliau telah berjimat cermat!
Beliau juga mengamalkan pembelian barangan keperluan bersama dengan ahli keluarga atau rakan-rakannya secara pembelian pukal. Melalui perkongsian ini, di samping dapat berjimat cermat sesama mereka, beliau tidak perlu kerap keluar membuat pembelian serta dapat mengawal perbelanjaan membeli barangan yang tidak diperlukan.
#4 Tabung Hijau
Ming, seorang pemandu ‘ride hailing’ telah mengamalkan Tabung Hijau sejak enam tahun lalu. Tabung Hijau menurut Ming ialah tabung yang beliau amalkan untuk menabung kepingan RM5 yang beliau terima tunai ketika berbelanja atau berurusan dengan pelanggannya. Beliau mengkhususkan Tabung Hijau tersebut untuk tujuan yang spesifik seperti membeli perkakasan rumah, percutian atau sebagai tabung kecemasan.
Ini nampak mudah kan? Namun tabiat ini perlu konsisten agar ia dapat menjadi satu amalan tetap. Antara salah satu daripada perbelanjaan yang berhasil daripada Tabung Hijau beliau ialah set pinggan mangkuk yang telah lama beliau idamkan!
Ming juga mengajar anak-anaknya menabung dengan konsep ini. Untuk mendorong mereka, beliau sanggup menyediakan ganjaran atau ‘reward’ sekiranya mereka berjaya mencapai matlamat yang telah mereka tetapkan.
#5 Menderma jika berpeluang
Hafiz, seorang ejen jualan produk manisan berkongsi pengalaman beliau menderma kepada golongan yang lebih memerlukan telah mengubah persepsi beliau terhadap wang. Beliau percaya amalan mulia ini, bukan sahaja dapat membantu lebih ramai orang yang berdepan dengan kesempitan wang malah ianya secara tidak langsung membantu beliau meningkatkan hasil jualan produk manisan yang diusahakannya. Menurut Hafiz, beliau sentiasa berasa amat teruja apabila dapat merasai sendiri kegembiraan si penerima setelah menerima bantuan yang diberikan walaupun ianya sedikit.
Untuk lebih berdisiplin dalam menderma, Hafiz mengasingkan bajet tetap seperti RM10 setiap bulan untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan. Kadangkala beliau berikan kepada anak kecil yang sedang membantu ibunya berniaga di pinggir jalan, ada kalanya beliau berikan kepada orang cacat penglihatan yang meminta bantuan.
Melalui perkongsian ini mungkin dapat membuka minda anda untuk menjadi lebih kreatif dalam mengawal perbelanjaan dan amalan menabung. Terdapat pelbagai cara yang boleh dipraktikkan untuk menyimpan dan tidak semestinya anda perlu mempunyai teknik asas sahaja. Sebagai GoGetters anda lebih arif berhadapan dengan transaksi wang harian maka penting untuk ada tahu bagaimana untuk menguruskannya dengan lebih baik!
Comments
0 comments
Please sign in to leave a comment.