Keselamatan dan kebajikan anda amat penting bagi kami. Kami dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa GoGet kini secara rasmi akan berintegrasi dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO di bawah LINDUNG KENDIRI.
Perlindungan ini disediakan selaras dengan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mewajibkan pekerja gig dilindungi di bawah skim keselamatan sosial PERKESO. Skim ini menyediakan perlindungan kewangan dan perubatan sekiranya anda mengalami kecederaan, kemalangan, hilang upaya atau penyakit berkaitan pekerjaan semasa menjalankan tugasan melalui platform GoGet.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Kami telah memudahkan proses ini untuk anda.
GoGet akan mendaftarkan GoGetter yang layak dengan PERKESO secara automatik bagi pihak anda. Anda tidak perlu mengisi sebarang borang, mengunjungi pejabat PERKESO atau mengambil sebarang tindakan tambahan.
Selepas pendaftaran dibuat, GoGet akan membuat potongan automatik sebanyak 1.25% daripada bayaran asas (base pay) bagi setiap tugasan yang telah diselesaikan dan menyimpannya di dalam wallet anda sebagai sumbangan tahunan PERKESO.
Sila ambil perhatian bahawa potongan ini hanya terpakai untuk bayaran asas tugasan dan tidak termasuk insentif, bonus atau tip.
Sumbangan ini akan terkumpul sehingga mencapai jumlah caruman tahunan yang diperlukan untuk Pelan 1 PERKESO, iaitu pelan perlindungan pilihan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Pelan 1 memerlukan caruman tahunan sebanyak RM157.20 (anggaran RM13.10 sebulan).
Walaupun terdapat empat pelan caruman yang tersedia di bawah SKSPS, GoGet pada masa ini akan mendaftarkan GoGetter yang layak di bawah Pelan 1 secara automatik. Anda juga boleh menukar plan melalui aplikasi PRIHATIN.
Apakah manfaat yang akan anda terima?
Di bawah LINDUNG KENDIRI, anda mungkin layak menerima pelbagai manfaat perlindungan dan sokongan, termasuk:
| Manfaat | Butiran |
| Faedah perubatan | Bayaran balik tertakluk kepada Akta Fi 1951 |
| Faedah hilang upaya | Kadar bayaran ialah 80% (Hilang Upaya Sementara) dan 90% (Hilang Upaya Kekal) daripada gaji harian berdasarkan Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan, dengan bayaran minimum RM30 sehingga maksimum RM118.50 sehari |
| Elaun Layanan Sentiasa (Elaun Penjaga) | RM500 sebulan |
| Kemudahan Pemulihan/Rehabilitasi | Perkhidmatan percuma disediakan |
| Faedah tanggungan | Pekerja gig yang meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan sendiri atau insiden berkaitan kerja layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT), yang dibayar secara bulanan kepada tanggungan atau penerima manfaat yang layak |
Untuk maklumat lanjut mengenai setiap manfaat, sila baca di sini: Klik sini
Bagaimanakah saya boleh menyemak status dan caruman saya?
Anda akan dapat melihat status pendaftaran PERKESO anda secara terus melalui profil GoGet anda tidak lama lagi, termasuk status seperti Berdaftar atau Menunggu Pendaftaran.
Untuk maklumat yang lebih terperinci, termasuk sejarah caruman, pelan perlindungan dan pilihan caruman tambahan, anda boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PRIHATIN PERKESO.
Peralihan daripada Senang Insurance-on-Demand & Chubbs Group Insurance
Sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menyelaraskan perlindungan pekerja Malaysia dengan PERKESO, Senang Insurance-on-Demand dan Chubbs Group Insurance akan dihentikan.
Walaupun pembelian baharu tidak lagi tersedia, mana-mana polisi aktif Senang Insurance yang dibeli sebelum tarikh pemberhentian akan kekal sah sehingga tamat tempoh perlindungan masing-masing, dengan syarat anda memulakan tugasan sebelum 30 Jun 2026.
Kami kekal komited untuk menyediakan perlindungan dan sokongan yang bermakna kepada komuniti GoGetter kami. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada GoGet, dan kami berharap dapat terus menyokong anda di setiap langkah.
Masih ada soalan?
Penerangan tentang soalan lazim berkaitan caruman PERKESO, manfaat, tuntutan, dan kelayakan dalam artikel Soalan Lazim (FAQ) kami:
Comments
0 comments
Article is closed for comments.